Ads 468x60px

Pages

Monday, April 5, 2010

Musafir: Jelajah Jordan Hari Kedua (siri 2)

Destinasi pengembaraan kami yang seterusnya ialah Masjid dan Makam Nabi Syuib. Kawasan masjid sungguh tenang. Kami terus menuju ke kawasan khas makam Nabi Syuib Alaihisslam.
Penjaga makam berbangsa Arab telah menceritakan serba sedikit kepada kami mengenai sejarah nabi Syuib. Saya sempat merakam video untuk memperoleh maklumat mengenai penerangan yang diberikan. Ust Solihin turut membantu kami memahamkan tutur kata yang disampaikan.





Perkarangan Masjid Nabi Syuib



Penjaga makam sedang berbicara
Serba sedikit sejarah ringkas tentang dakwah Nabi Syuib. Beliau telah diutuskan kepada kaum Madyan, segolongan bangsa Arab yang tinggal di daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam (Palestin). Golongan ini menyembah Aikah, iaitu sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Ketika nabi syuib berdakwah kepada mereka, mereka langsung tidak menerimanya bahkan mengejek dan mempersendakan dakwah nabi. Antara amalan buruk mereka ialah menipu sukatan dan timbangan dalam jual beli.  Ramai saja para pedagang kecil yang tertipu dan ditindas oleh mereka. Mereka turut mencabar nabi agar menurunkan azab kepada mereka seandainya dakwah nabi itu benar. Akhirnya dengan izin Allah, Allah menurunkan bala kepada mereka dengan hawa panas terik yang membakar kulit dan kering tekak dahaga kepanasan yang amat perit sekali. Ke mana sahaja mereka pergi untuk berlindung dari hawa panas langsung tidak mendatangkan faedah sekalipun. Dikatakan, mereka menuju ke hutan tempat penyembahan mereka namun itu pun tidak mendatangkan faedah. Kemudian Allah telah mewahyukan kepada nabi agar keluar bersama-sama orang mukmin dari desa tersebut agar azab Allah yang akan diturunkan tidak menimpa ke atas mereka. Akhirnya umat nabi Syuib yang ingkar tadi melihat awan tebal datang beriring, lantas menuju ke awan hitam yang tebal itu. Sangkaan mereka bahawa awan tersebut akan menghindarkan mereka dari hawa panas, namun ia meleset sama sekali. Lantas, kedengaranlah suara teriakan kuat dari langit, mereka menyangka itu guruh yang akan membawa kepada hujan, namun sebaliknya terjadi, mereka dibakar oleh cahaya api yang keluar dari awanan hitam hingga menjadi abu berterbangan. Begitulah azab Allah yang pedih bagi kaum yang ingkar, buat pengajaran umat mendatang. Kisah berkenaan Nabi Syuib dan kaumnya banyak diceritakan dalam surah Hud surah ke-11 ayat ke 84-95. 


Selesai penerangan, kami berdoa untuk nabi bersama2 dan terasa sungguh syahdu ketika itu. Pengunjung makam (Arab) yang lain turut duduk sama berdoa dan bertafakur.  Selesai berdoa dan mengambil gambar sebagai kenangan, kami terus bergerak menaiki bas menuju ke makam seterusnya

Pemandu bas letih, tidur kepenatan.... 









 Hadapan Masjid Nabi Yusha
Kali ini Masjid dan Makam Nabi Yusha. Kami dibawa masuk ke kawasan makam. Agak kagum, makam kali ini panjang dari kebiasaan, dikatakan kemungkinan memang nabi Yusha seorang yang tinggi, atau makam sahaja yang panjang, Wallaualam. Dihias indah dengan tertulis nama di situ nabi Allah Saiyidina Yusha bin Nun Alaihissalam. Kami sempat bergambar dan mendengar penerangan ringkas dari penjaga masjid, memandangkan imam masjid pada masa itu bercuti, tidak dapat kami mendengar penerangan daripadanya. Dikatakan tempat ini dhorih, bukan makam, dhorih membawa erti jenazah memang dikuburkan di situ, kalau makam pula tidak pasti sama ada jenazah dikuburkan di situ atau di tempat lain atau tidak dapat dikenal pasti. Dikatakan umur nabi Yusha ialah 125tahun. Dikatakan juga, nabi Yusha anak murid kepada nabi Musa, menggantikan beliau yang wafat di Gunung Nebo demi memimpin kaum bani Israel membuka kota Ariha, Jericho, Palestin dan akhirnya membawa kepada kejayaan. Nama nabi Yusha tidak disebut dalam Al Quran namun merujuk kepada Surah Al Kahfi surah ke 18 ayat ke-60 hingga 82 menceritakan perjalanan nabi musa ditemani oleh temannya iaitu Nabi Yusha semasa dalam perjalanan ke arah selatan melepasi kawasan Bandar Madyan untuk bertemu dengan Nabi Al Khidir. Wallahualam. Kawasan makam dikatakan telah dibina dan dicantikkan pada zaman Imam Malik, sebelum Kerajaan Uthmaniyah. Begitulah serba sedikit maklumat walaupun tidak pasti kesahihannya 100%. Harap boleh dikaji bersama2.
Penjaga masjid yang menggantikan imam

Kami berehat di perkarangan masjid untuk makan bekalan makanan yang di bawa bersama-sama. Seronok bermain bersama anak Ustaz, A’sum yang comel dengan gelagatnya tersendiri. Kami sempat bersiar2 di kawasan sekitar dan mengambil pemandangan bukit dan gunung yang cukup indah, mengasyikkan mata memandang. Subhanallah…


Nyamannya suasana!



Lembah belakang masjid Nabi Yusha. Nun di sana ialah Palestin dan Israel



 Ammu Muhammad sedang bercerita kepada saya dan Fadhil

Hari semakin petang dan bas bergerak pulang semula ke Amman. Namun, kami mendapat pelepasan untuk membeli-belah di pasar raya, maka kami diturunkan di City Mall, Amman. Seronok juga meninjau2 pasar raya dengan harga yang sedikit murah dari barangan di Irbid sendiri. Saya dan Mukhtadi sempat berjalan kaki ke Mecca Mall setelah sempat meninjau pasar raya Carrefour bersama Soleh, Fadhil, Iqbal dan Abang Jai. Memang seronok! Antara barang yang saya beli ialah, CDRW, Speaker pc, wireless mouse, sedikit jajan dan tidak lupe juga Rubik’s Cube..~ ngee.. .

 City Mall dan Carrefour JORDAN!





Mecca Castle- Hotel


 Mecca Mall yang mewah!


Alhamdulillah, pulang ke hotel pada malamnya dengan selamat. Main game, tengok tv, makan-makan dan tengok movie, sebelum tidur untuk mengumpul tenaga menyambung pengembaraan seterusnya esok di pagi hari!

P/S; Alhamdulillah, walaupun tertangguh namun dapat juga post slot ini dengan baik. Semoga mendapat manfaat! Maklumat yang dinyatakan adalah berdasarkan apa yang diperoleh dan sedikit kajian daripada diri sendiri, harap dapat sama2 kaji semua.. ~Amat rindukan kenangan JELAJAH JORDAN ^_^
Gambar: Kenangan melepak makan di mat'am Al heena...

2 comment:

Solehhuddin said...

Salam.
Caya n chare la Koje...
Hampir sebulan setengah baru boleh post Jelajah Jordan.
Padahal 6 hari je jelajahnya..Post ni baru masuk hari ke-2..hehe
Best betul la..teringat zaman muda2 dulu.

Hamdi Ali said...

tahniah ust koje. ba3dein, ana punyye turn pulok...
hu3. berjanggut ana tunggu...

Post a Comment